INSURANS HAYAT
Dalam insurans hayat, sebilangan besar orang
(dipanggil pemegang polisi) membayar sejumlah wang (premium) ke dalam suatu
dana yang diurus oleh syarikat insurans. Apabila seseorang di dalam kumpulan
itu ditimpa kesusahan, dia akan diberi sejumlah wang daripada dana tersebut
untuk membantu meringankan kesusahannya.
Bagaimanakah saya membeli polisi insurans hayat?
Anda boleh memilih untuk membeli polisi insurans hayat daripada
institusi kewangan seperti bank yang mempunyai urusan bankasurans dengan syarikat
insurans, melalui broker insurans atau ejen insurans hayat. Sekiranya anda
membuat keputusan untuk membeli polisi insurans melalui ejen, sebelum berurusan
dengan ejen, anda hendaklah berpuas hati dengan reputasi dan kelayakan ejen
tersebut. Semua ejen yang menjual insurans hayat adalah berdaftar dengan
Persatuan Insurans Hayat Malaysia [Life Insurance Association of Malaysia
(LIAM)], dan dimestikan lulus peperiksaan yang dikendalikan oleh Institut
Insurans Malaysia. Apabila berurusan dengan ejen, pastikan anda meminta untuk
melihat kad kuasa beliau yang dikeluarkan oleh LIAM .
Kontrak polisi
Apabila anda membeli polisi insurans hayat, wujud kontrak di antara anda
dengan syarikat insurans. Anda bersetuju untuk membayar premium bagi tempoh
tertentu dan, sebagai balasan, syarikat insurans akan membayar kepada penama
atau estet anda sejumlah wang berikutan kematian anda. Sekiranya anda mengalami
hilang upaya menyeluruh dan kekal atau sebarang situasi yang ditetapkan,
bayaran akan dibuat kepada anda. Dalam kes hilang upaya menyeluruh dan kekal,
wang itu biasanya dibayar secara ansuran. Anda mestilah sentiasa membaca
cetakan halus di dalam kontrak dan memahami had-had atau klausa
pengecualiannya.
Mengapakah saya
perlu membeli insurans hayat?
Anda mungkin ingin membeli polisi insurans hayat atas sebab-sebab
berikut:
- Memastikan
agar keluarga terdekat anda mempunyai wang tunai dan pendapatan selepas
kematian anda agar mudah bagi mereka untuk membayar bil, cukai dan
obligasi-obligasi lain.
- Supaya
keluarga terdekat anda dapat terus mengekalkan taraf hidup mereka selepas
kematian anda.
- Agar
anak anda mempunyai wang untuk pendidikannya.
- Supaya
anda mempunyai pelan tabungan untuk masa hadapan agar apabila bersara,
anda akan mempunyai punca pendapatan berterusan.
- Agar
anda mempunyai pendapatan sampingan apabila pendapatan anda berkurangan
berikutan penyakit yang serius atau kemalangan.
Walau apapun sebabnya, anda perlu
berhati-hati apabila memilih polisi agar bersesuaian dengan keperluan
anda. Ambillah masa untuk berbincang dengan syarikat insurans atau
pengantaranya tentang polisi yang ingin anda beli.
Pelepasan cukai
pendapatan
Anda boleh menuntut pelepasan cukai terhadap premium yang anda bayar,
tertakluk kepada terma dan syarat tertentu. Bagi polisi hayat biasa, amaun
maksimum pelepasan ialah RM6,000 termasuk apa-apa sumbangan yang anda buat
kepada skim manfaat persaraan yang diluluskan, seperti Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja atau skim-skim pencen yang lain. Bagi polisi perubatan atau pendidikan,
pelepasan cukainya ialah RM3,000 setahun.
Apakah polisi yang
patut saya beli?
Anda mestilah memilih jenis polisi yang paling sesuai dengan kedudukan
diri anda. Sekiranya anda masih muda dan ingin memastikan pasangan dan anak
anda akan terbela jika anda tiba-tiba meninggal dunia, insurans bertempoh
adalah paling sesuai. Sekiranya anda telah berumur dan mempunyai keluarga yang
lebih mantap, jenis premium tetap dan polisi yang mengumpul nilai tunai adalah
lebih sesuai. Anda hendaklah memahami skop perlindungan yang diberikan di bawah
polisi, terma dan syarat serta pelbagai kos perlindungan insurans. Anda juga
harus mengetahui apa akan terjadi sekiranya anda ingin beralih daripada satu
syarikat insurans kepada syarikat insurans yang lain, atau sekiranya anda ingin
berpindah daripada satu jenis polisi kepada polisi lain.
Kepentingan
pendedahan
Anda mestilah memberikan semua fakta dalam borang permohonan anda
sepenuhnya dan secara jujur. Sekiranya ejen anda mengisikan borang permohonan
untuk anda, baca dan fahamilah keperluan dalam borang tersebut dengan teliti
sebelum anda menandatangani borang berkenaan. Jika tidak, polisi insurans hayat
anda mungkin boleh terbatal.
Perkara yang perlu diingati
- Buatlah
catatan tentang tarikh premium yang perlu dibayar. Sekiranya premium tidak
dibayar mengikut tarikhnya, polisi insurans hayat anda mungkin akan luput.
- Pastikan
anda sentiasa meminta resit sebagai bukti bayaran. Ini akan membantu
penyiasatan sekiranya ejen anda gagal menyampaikan premium itu kepada
syarikat insurans.
- Pastikan
umur anda yang tercatat di dalam borang permohonan adalah tepat. Sekiranya
berlaku kematian dan umur anda tidak dinyatakan dengan betul, syarikat
insurans hayat akan hanya membayar amaun yang berpatutan dengan jumlah
premium yang telah dibayar untuk umur yang betul.
- Sentiasalah
menyemak semula keperluan insurans anda untuk memastikan keperluan itu
dilindungi secukupnya oleh polisi yang sedia ada
- Oleh
kerana dokumen polisi adalah dokuman yang sah di sisi undang-undang, ia
hendaklah disimpan dengan selamat sehinggalah wang polisi insurans hayat
diterima daripada syarikat insurans.
- Salinkan
maklumat asas seperti nama syarikat insurans, jenis polisi, nombor polisi
serta nama penama dan simpan maklumat tersebut di tempat selamat.
- Sekiranya
anda mempunyai kemusykilan mengenai polisi insurans hayat anda, anda
digalakkan untuk bertanya kepada syarikat insurans hayat anda.
Bagaimana hendak membuat aduan dan apakah saluran penyelesaian yang ada
- Sekiranya
anda mempunyai aduan tentang produk atau perkhidmatan syarikat insurans
anda atau anda tidak berpuas hati dengan penolakan atau tawaran penyelesaian
tuntutan, anda hendaklah terlebih dahulu cuba menyelesaikan aduan tersebut
dengan Unit Aduan syarikat insurans berkenaan.
- Sekiranya
anda masih tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat, anda boleh
menulis sama ada kepada Biro Pengantaraan Kewangan (Financial Mediation
Bureau atau FMB) atau Bank Negara Malaysia yang akan mengendalikan aduan
anda secara percuma. Anda boleh merujuk kepada pegawai di Unit Aduan
syarikat insurans yang berkaitan tentang saluran yang betul untuk
mengendalikan aduan anda.
- Sekiranya
anda ingin mengemukakan aduan kepada FMB, aduan itu hendaklah dikemukakan
dalam tempoh enam bulan dari tarikh keputusan muktamad syarikat insurans.
FMB mengendalikan pertikaian antara anda (samada individu atau syarikat)
dengan syarikat insuransnya atau syarikat insurans pihak ketiga.
- FMB
merupakan sebuah organisasi bebas yang menyediakan saluran yang cepat,
mudah dan cekap sebagai alternatif kepada mahkamah.
- Walau
bagaimanapun, FMB tidak mengendalikan pertikaian yang melibatkan polisi produk
insurans, isu pengunderaitan, kes penipuan dan kes yang telah atau sedang
dirujuk di mahkamah.
- Selain
itu, aduan yang dirujuk kepada FMB adalah terhad kepada:-
- RM200,000 bagi polisi insurans motor dan
kebakaran.
- RM100,000 bagi polisi insurans yang lain.
- RM5,000 bagi tuntutan kerosakan harta pihak
ketiga.
- Bagi
kes yang bukan di bawah bidang kuasa FMB, anda boleh mengemukakan aduan
tersebut kepada Bank Negara Malaysia.
No comments:
Post a Comment